STRATEGI MENARIK ORANG MELAYU KE ARAH PENGGUNAAN ICT
 
 

Pengenalan

Dunia ICT atau Informasi Teknologi terlalu sinonim dalam penghidupan seharian manusia di seluruh dunia masakini.  Dalam arus kemajuan ini, orang melayu turut sama terkena tempias kemajuan teknologi ini.  Bukan sekadar tempias, bahkan kita boleh berbangga juga dengan kemahiran yang dimiliki oleh bangsa melayu yang dapat menghanyutkan diri bersama-sama bangsa maju yang lain di dunia ini.  Orang melayu yang masih kuat mempertahankan budaya timur dan ada adat-adat tradisi lama yang masih mereka amalkan mungkin antara sebab kita merasakan masih ada di kalangan mereka sukar untuk memahami dan menerima penggunaan ICT. Setakat mana benarnya orang melayu memahami dan menggunakan kemajuan ini?  Bagaimana kita boleh pastikan bahawa bangsa melayu telah majoriti mengenali, memahirkan, menggunakan atau mengaplikasikan kemudahan ini dalam kehidupan mereka seharian?

Definisi

Secara mudahnya, kita boleh katakan maksud strategi adalah usaha-usaha untuk mencapai sesuatu objektif dengan melihat kepada teknik-teknik yang sistematik yang terancang. Mengikut Kamus Dewan (1994), strategi didefinisikan sebagai rancangan/pendekatan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Dalam mengatur strategi selain dari teknik terancang, perlu juga difikirkan cara-cara untuk mengatasi permasalahan yang boleh dijangkakan yang akan timbul.
Teknologi pula menurut Rogers berasal dari perkataan dasar latin texere yang membawa maksud menubuhkan atau membentuk.  Teknologi adalah satu corak untuk satu-satu tindakan yang bertujuan mengurangkan ketidakpastian dalam perhubungan sebab dan akibat dalam usaha mencapai matlamat yang diingini . Informasi pula diambil dari perkataan ‘Information’ yang membawa maksud maklumat.  Teknologi mengandungi aspek perkakasan dan perisian untuk diguna dan diaplikasikan oleh semua.

OBJEKTIF

Dalam membicarakan tentang keterlibatan orang melayu dalam dunia IT atau Teknologi Maklumat  dan internet ini, kita cuba lihat dari pelbagai sudut.  Pertama sekali kita lihat dahulu apa objektif kita untuk menarik perhatian bangsa melayu kita untuk menggunakan teknologi komunikasi moden ini.
Dunia masa kini sedang mengalami perubahan besar sejak mula teknologi kecanggihan sebaran maklumat ini di perkenalkan.  Kita sedang melalui proses pengglobalisasian.  Globalisasi yang ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan ini amat mencabar dan banyak menimbulkan kontroversi oleh kerana ianya mampu mengubah dunia dalam segala aspek. Dalam proses ini, sesiapa yang tidak mengetahui atau mengikut setiap perkembangannya, akan ketinggalan.  Oleh yang demikian, kita tidak mahu bangsa melayu ketinggalan dalam kemajuan tersebut.  Teknologi komunikasi yang sedemikian dapat mencapai matlamat kita dalam usaha menjadikan negara ini sebagai negara maju setelah sekian lama dikategorikan sebagai negara membangun.
ICT yang semestinya berkait rapat dengan penggunaan internet mungkin biasa bagi masyarakat di bandar.  Tetapi agak asing bagi sesetengah masyarakat melayu di luar bandar.  Bagi sesetengah anggota masyarakat, ICT dan internet adalah ditujukan kepada ahli-ahli korporat dan golongan terpelajar sahaja.  Sebab itulah masih terdapat di kalangan masyarakat melayu yang langsung tidak berminat untuk mengetahui, mempelajari apalagi menggunakan kemudahan teknologi ICT ini.  Mereka tidak nampak apa yang mereka boleh dapat dari perkakasan teknologi tersebut.
Objektif utama dalam tajuk yang dibicarakan ini adalah perancangan strategi untuk menarik orang melayu bersama menuju ke arah penggunaan ICT.
 
 
 

Perancangan Strategi

Bukan mudah untuk membawa sesuatu yang baru ke tengah masyarakat untuk diterima pakai oleh mereka.  Apalagi bagi mereka yang telah terbiasa dengan cara lama yang mereka rasakan jauh lebih mudah dan tidak perlu membebankan diri mereka untuk mempelajari perkara yang baru. Bak kata pepatah melayu, ‘tidak kenal maka tidak cinta’, begitu juga dengan masyarakat di negara ini atau di mana sekalipun di ceruk dunia ini.  Sekiranya mereka telah mengenali, mengetahui dan mahir dengan sesuatu yang baru, maka mereka akan dapat membiasakan diri untuk menerima dan menggunakan perkakasan atau setiap teknologi yang baru.  Dunia teknologi memang terlalu pantas berubah.   Contohnya, kalau hari ini telah dicipta komputer yang menggunakan cip Intel Pentium IV, tahun hadapan, tahu-tahu telah pun ada di pasaran Intel Pentium VI.  Mengapa semua ini berlaku?  Kerana manusia memang senntiasa mencari jalan atau cara untuk memudahkan kerja mereka.  Masalah sekarang, bagaimana orang melayu boleh kita bawa sepenuhnya untuk mengenali dan menggunakan teknologi IT terkini ini?
Antara strategi yang boleh dilakukan adalah, memberi pemahaman, membekalkan kemahiran, mengurangkan kos pemilikan dan pengendalian peralatan, mewujudkan pusat-pusat rujukan, menyusun aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan peralatan ICT dan pendedahan terhadap penggunaan teknologi ini.

Pemahaman

Sebelum mahu masyarakat menerima dan menggunakan ICT, mereka perlu diberikan pemahaman kenapa mereka perlu gunakannya, apa manfaat yang mereka boleh perolehi dari penggunaan peralatan itu, bagaimana pengendalian peralatan dan bagaimana ianya berfungsi.  Pemahaman boleh diserapkan dalam masyarakat melayu kita dalam perlbagai cara seperti:

1. Mengadakan kelas-kelas pengajaran dengan bayaran yang berpatutan.
2. Pendekatan atau menghampirkan mereka dengan orang-orang yang sering menggunakan ICT.  Berkomunikasi dengan mereka yang faham dan menggunakan komputer.  Sudah tentu mereka akan membantu dan menambah pengetahuan tentang apa sahaja yang berkaitan dengan komputer.  Sebagaimana sekiranya kita hendak belajar memasak, hampirilah orang yang tahu dan minat memasak/
3. Mengaplikasikan penggunaan ICT dalam aktiviti-aktiviti seharian masyarakat.  Contohnya dalam urusan perbankan yang banyak telah mula diamalkan di negara ini sekarang.

Sebelum ini apabila kita sebut internet, ada di kalangan bangsa melayu terutamanya golongan remaja yang membayangkan penggunaannya dalam ‘chatting’ atau berbual-bual kosong dan mencari laman-laman prono yang dipenuhi dengan gambar-gambar lucah.  Selain dari itu, bagi golongan kanak-kanak pula, mereka membayangkan permainan-permainan yang terdapat di dalam komputer itu.  Ini lah dua kategori masyarakat yang amat berminat dengan komputer atau internet.  Untuk mereka yang lebih dewasa, penggunaan internet berkait rapat dengan pekerjaan mereka selain dari berchatting atau mencari kenalan baru.  Oleh sebab itulah maka masih ada di kalangan masyarakat khususnya masyarakat melayu yang kita perkatakan ini,  yang tidak nampak baiknya penggunaan ICT kerana telah dikaburkan dengan natijah negatif internet. Mereka bayangkan maklumat-maklumat yang tidak benar atau cerita-cerita rekaan yang terdapat di internet dan langsung tidak mahu menerima apa-apa yang diambil dari internet kerana beranggapan semuanya tidak berguna. Mereka sebenarnya perlu difahamkan bagaimana maklumat yang berfaedah dan bagaimana membezakan maklumat benar dengan maklumat palsu yang hanya akan mencemar pemikiran manusia.  Mereka perlu menerima dan bersetuju bahawa penggunaan teknologi komunikasi informasi ini sebenarnya adalah perlu diketahui dan  dipraktikkan dalam segala aspek penghidupan, samada aspek sosial, pendidikan, pekerjaan, politik, ekonomi dan lain-lain. Masyarakat melayu tidak sepatutnya membiarkan bangsa lain merendah-rendahkan kebolehan mereka.  Mereka perlu seiring bahkan maju ke hadapan dari bangsa-bangsa lain dalam mencapai kemajuan dunia.  Melayu, yang sinonim juga dengan agama Islam, perlu ingat bahawa agama juga menuntut agar umat Islam sentiasa mendalami ilmu pengetahuan, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. :
‘Tuntutlah ilmu pengetahuan itu, sekalipun ke negeri Cina’.
Tuntutan ini bukan semata-mata agar kita menjadi orang yang berilmu, sebaliknya menjadi orang yang berilmu dan beramal.  Huraian hadis ini amat luas jika mahu diperkatakan.  Cukuplah kita ketahui bahawa agama juga mahu kita terus belajar dan beramal, tidak dihadkan kepada ilmu akherat semata-mata, tetapi juga ilmu duniawi, selagi tidak melanggar hukum hakam agama.
 

Kemahiran

Setelah masyarakat memahami,  mereka perlu dimahirkan dengan peralatan ICT.  Bayangkan, apabila mereka dihadapkan dengan sebuah komputer, mereka tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya.  Tekan sana tidak keluar, tekan sini tiada apa-apa yang berlaku. Lantas mereka menjadi bosan dan akan meninggalkannya.
Berlaku juga di kalangan para pelajar yang telah mendapat sijil mempelajari penggunaan komputer, tetapi masih tidak tahu menggunakan komputer sepenuhnya.  Ini dapat kita perhatikan, apabila mereka mula bekerja.  Mereka diberikan sebuah komputer, tetapi mereka teragak-agak dalam menggunakannya.  Ini adalah jenis pelajar yang belajar untuk mendapatkan sijil semata-mata.
Selain dari itu, terdapat orang melayu yang begitu ghairah untuk memiliki komputer.  Akan tetapi, setelah membeli, komputer tersebut hanya menjadi perhiasan di ruang tamu rumah mereka.  Kerana apa?  Mereka tidak tahu menggunakannya.  Kalau bukan sebab itu, mungkin sebab sekali mereka gunakannya, komputer tersebut rosak, lalu mereka takut untuk menggunakannya lagi.  Fenomena fobia ini antara yang biasa berlaku di kalangan masyarakat melayu kita.
Oleh itu, kemahiran amat penting untuk mencapai objektif membawa orang melayu ke alam penggunaan ICT.
 
 

Pengurangan kos pemilikan

Dahulu, untuk memiliki sebuah komputer, adalah sukar bagi masyarakat melayu.  Tetapi sekarang, harga perkakasan komputer adalah jauh lebih rendah.  Pelbagai kemudahan juga di ujudkan agar masyarakat mampu membeli komputer.  Kerajaan juga sentiasa berkempen agar setiap rumah di negara ini memiliki komputer.  Dalam pada itu, masih ramai masyarakat terutama orang-orang melayu yang merasakan harga peralatan amat tinggi.

Aktiviti

Adakan aktiviti yang melibatkan penggunaan perkakasan ICT.  Aktiviti biarlah ada kesinambungan.  Bukannya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ sepertimana yang sering berlaku di kalangan masyarakat melayu. Pihak yang menganjurkan aktiviti mesti pastikan ianya berjaya mencapai matlamat menarik minat masyarakat melayu untuk mempelajari, menggunakan, memahirkan diri, memiliki dan mengaplikasikan penggunaannya di dalam pekerjaan dan apa jua urusan seharian.
 

Kesimpulan

Adalah sukar untuk membuat orang menerima sesuatu yang baru.  Akan tetapi semuanya boleh berlaku.  Masa dan usaha akan menentukan.  Strategi yang disebutkan di atas bukanlah apa yang boleh kita lakukan agar masyarakat melayu keseluruhannya menerima pakai penggunaan ICT dan internet.  Selagi unsur-unsur negatif masih mendahului unsur positif, selagi itulah amat payah wujud penerimaan.   Penerimaan yang datang dari kemahuan, minat dan kesungguhan itulah yang dapat mencapai objektif strategi yang dirancang di atas.
Usah biarkan masyarakat ini hanyut dengan kejahilan mereka.  Semua peringkat umur perlu berusaha agar mengenali, mahir dan tahu arah penggunaan sebenar ICT.  Jangan hanya harapkan golongan muda untuk meneroka teknologi ini.  Kelak akan berlaku golongan muda yang menyalahgunakan kemajuan tersebut.  Hanya golongan tua yang bertanggungjawab mendidik golongan muda yang baru mengenal dunia tetapi cekap mempelajari sesuatu yang baru samada baik atau sebaliknya.  Tetapi seandainya golongan tua tidak tahu penggunaan teknologi ini, maka bagaimana mereka mahu mendidik dan mengawal penggunaan ini di kalangan generasi bawahan mereka?
Begitu juga, dari aspek geografi, samada mereka yang berada di bandar mahupun luar bandar, perlu sama-sama menguasai teknologi ICT ini.  Tanpa mengira lelaki atau perempuan, kaya atau miskin.  Penduduk luar bandar akan semakin mudah mendapatkan maklumat global.  Tidaklah dikatakan nanti ‘bagai katak di bawah tempurung’.   Pihak pemerintah perlu mengadakan lebih pendedahan tentang ICT kepada penduduk melayu di luar bandar.  Mereka juga boleh mengaplikasikan penggunaan ICT dan internet dalam penghidupan mereka seharian.  Mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti pertanian atau penternakan komersial akan mudah berkomunikasi dengan jabatan pertanian misalnya dalam hal atau permasalahan aktiviti mereka.  Komunikasi melalui alam maya lebih pantas dan jimat dibandingkan dengan komunikasi secara langsung  atau komunikasi bertemu muka (face to face).
Sekiranya kita mengikuti perkembangan teknologi ICT, kita dapat melihat bagaimana urusan perbankan dengan begitu mudah dijalankan secara ‘online’.  Begitu juga dengan urusan pendaftaran syarikat dengan kementerian kewangan, tuntutan insuran kenderaan dan banyak lagi yang lain-lain yang bakal diaplikasikan untuk memudahkan masyarakat.  Apa halnya  sekira masyarakat melayu tidak mengetahui dan menikmati kemudahan tersebut?
Dari itu, strategi-strategi yang berkesan seperti yang disebutkan di atas perlu dirancang teliti untuk mencapai matlamat membawa bangsa melayu bersama mengikuti kemajuan dunia ICT.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

RUJUKAN:
 

1. Teknologi Komunikasi  Media Baru Dalam Masyarakat – Everett M.Rogers, terjemahan Zulkarnaina Mohd. Mess, ms. 1.

2. Komunikasi asas  - Shamsuddin A. Rahim (1997) – Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

3. Artikel & Pendapat Pilihan-Penggunaan internet oleh anak-anak perlu diawasi- Che Wan – http://www_bijak_net_my.html

4. Mel Elektronik Memudahkan Perhubungan dan lain-lain - http://www.jalinan.jaring.my/mei98.htm

5. Masyarakat Berilmu dan lain-lain -  http://www.jalinan.jaring.my/mei98.htm