TERM PAPER : PERSEPSI TERHADAP KOMPETENSI GURU BESAR SEBAGAI PEMIMPIN PENGAJARAN: SATU KAJIAN DI SEKOLAH RENDAH

BAB 1 - PENGENALAN

1.0 Pendahuluan
Peranan Guru Besar sebagai pemimpin pengajaran di sekolah memang tidak dapat dinafikan. Sebagai ketua, beliau mengepalai seluruh anak buahnya untuk menghadapi cabaran pendidikan masa kini. Oleh itu kajian ini cuba mengenalpasti tanggapan keperluan dan tahap kompetensi mereka bagi menjalankan tugas sebagai pemimpin pengajaran.

1.1 Latarbelakang Kajian
Pendidikan di Malaysia sedang mengalami proses perubahan yang besar iaitu perubahan dalam struktur organisasi pengurusan pendidikan peranan dan fungsinya di setiap bahagian dan peringkat, baik di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah mahupun di peringkat sekolah. Perubahan in merupakan salah satu strategi ke arah menyediakan insfrastrutur yang lengkap dan terkini bagi menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin rumit dan rencam.

Kajian dan tulisan beberapa tokoh dalam bidang pengurusan seperti Edmonds (1979) dan Sergiovanni (1987), telah menunjukkan bahawa kepemimpinan memainkan peranan yang penting untuk menentukan kelicinan, kecekapan, dan keberkesanan pengurusan sesebuah organisasi khususnya sekolah. Sekolah telah mengalami dan menghadapi pelbagai perubahan seperti dari segi kurikulum, kaedah pengajaran, dan kegiatan ko-kurikulum, dalam usaha menyahut harapan masyarakat dan negara yang semakin mencabar. Antara perubahan dan reformasi dalam pendidikan ialah pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988, reformasi dasar penggunaan bahasa dan pengwujudan Falsafah Pendidikan Negara. Masyarakat sendiri menghadapi pelbagai perubahan sama ada dari segi sosial, ekonomi mahupun politik. Semua ini menyebabkan Guru Besar, sebagai pengurus sekolah, menghadapi cabaran yang lebih besar yang memaksa mereka sentiasa peka, kreatif, dan inovatif dalam menangani pelbagai masalah pengurusan harian mereka.

Navanro (1986) melihat betapa pentingnya kepemimpinan Guru Besar dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah. Dalam usaha mengejar dan mencapai kecemerlangan pendidikan, sama ada di negara membangun, mahupun di negara-negara maju yang lain, kepimpinan Guru Besar sering dilihat sebagai teraju utama. Guru Besar merupakan pelakon utama dalam menentukan halatuju sekolah dalam menghadapi kerencaman masa hadapan.

Dapatan-dapatan yang ditemui dalam penyelidikan tentang keberkesanan sekolah menunjukkan bahawa penentu paling utama bagi kejayaan sesebuah sekolah adalah kepemimpinan seorang Guru Besar dalam bidang pengajaran iaitu kepemimpinan pengajaran (Hussein Mahmood, 1993). Peranan kepemimpinan pengajaran ini berkait rapat dengan usaha memajukan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Seringkali proses ini melibatkan pelaksanaan inovasi program pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi prestasi para pelajar an.

Di negara kita, Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di sekolah-sekolah, telah melaporkan bahawa para Guru Besar bertanggungjawab terhadap pencapaian pelajar di sekolah mereka. Menurut Jawatankuasa tersebut, Guru Besar perlulah cekap;

... dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti pembelajaran di sekolah-sekolah, mengekalkan penyeliaan sekolahnya dengan cara yang berkesan, bertindak sebagai pakar runding, penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di sekolah,dan perlu menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar, dan jangan hanya bekeja semata-mata sebagai pentabdbir yang berkurung di biliknya mengeluarkan arahan dan surat-surat siaran.

(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982:6)

Ternyata wujud peralihan tugas utama Guru Besar danipada hanya menekankan pentadbiran sekolah kepada kepemimpinan pengajaran. Perubahan peranan Guru Besar ini ditegaskan lagi apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan satu garis panduan pada tahun 1985 yang menyenaraikan tugas Guru Besar. Ini termasuk:

a. mengelola pentadbiran sekolah;

b. menyelia pelaksanaan kurikulum sekolah selaras dengan dasar pelajaran kebangsaan;

c. menyelia pelaksanaan program pendidikan tambahan dan juga perkhidmatan sokongan;

d. memberi kepemimpinan profesional kepada semua guru di sekolahnya; dan

e. mempereratkan kerjasama antara pihak sekolah dengan masyarakat melalui organisasi seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pihak pengelola/pengurus.

Sebagai pemimpin atau pengurus sekolah, Guru Besar diharapkan memainkan peranan termasuk memberi galakan (kewangan dan fizikal) menyebarkan maklumat, mengadakan aktiviti pembangunan staf dan membina perhubungan baik antara sekolah dengan masyarakat serta membina suasana sekolah yang ceria yang dapat menerima, memupuk dan menyokong perubahan dari luar (Ibrahim, 1988). Peranan Guru Besar dilihat sebagai penentu kejayaan dan kegagalan dalam pelaksanaan program pendidikan di sekolah khususnya dan segi kepemimpinan pengajaran (Berman & Mc Laughlin, 1976; Fullan &Pomfret, 1982).

Nyatalah bahawa peranan Guru Besar yang hanya menjalankan pentadbiran sekolah kini tidak lagi dianggap sesuai bagi mencapai matlamat pendidikan seperti yang diharapkan, lebih-lebih lagi dalam konteks Wawasan 2020, yang menuntut pelbagai perubahan dalam sektor pendidikan. Guru Besar telah dikenalpasti sebagai orang yang amat penting di sekolah dan sebagai pembolehubah utama bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu inovasi pendidikan di sekolah. Jelaslah Guru Besar perlu mempunyai kompetensi tertentu bagi menangani inovasi tersebut.

Sergiovanni (1984) menyatakan bahawa untuk kejayaan sesebuah sekolah, Guru Besar mestilah seorang pengurus yang kompeten. Beliau merumuskan lima peranan utama Guru Besar yang kompeten iaitu;

a. Pemimpin Teknikal;
b. Pemimpin Manusia;
c. Pemimpin Pendidikan;
d. Pemimpin Simbolik;dan
e. Pemimpin Budaya.

Pentingnya kompetensi bagi Guru Besar dalam menghadapi tugas dan tanggungjawabnya telah dikaji oleh Hussein Mahmood (1989) dalam disertasinya bertajuk 'A Study Of Principal's Perception Of Their Competency And Competency Needs In Instructional Leadership'. Beliau merumuskan empat kategori kompetensi Guru Besar berasaskan peranan dan tanggungjawab mereka iaitu;

a. Matlamat Sekolah;
b. Kurikulum Sekolah;
c. Pengurusan Sekolah;
d. Hubungan Kemanusiaan Dan Komunikasi.

Sebagai rumusan, peranan Guru Besar adalah kritikal untuk mencapai kejayaan dalam sistem pendidikan. Guru Besar dilihat sebagai ' key person' dan pembolehubah yang penting dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan perlaksanaan inovasi pendidikan.

Oleh itu, Guru Besar perlu mempunyai kompetensi khusus bagi menangani semua cabaran ini. Tahap kompetensi yang perlu dimiliki juga harus dinyatakan dengan jelas agar mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

1.2 Pernyataan Masalah
Cabaran utama yang dihadapi oleh sistem pendidikan ialah menyediakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan seterusnya menghasilkan 'output' tenaga manusia yang berkemahiran dan berketrampilan sesuai dengan kehendak pembangunan negara. Sumber manusia yang dilahirkan perlu mempunyai kecekapan dan kompetensi khusus bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi dan peranan mereka.

Pembangunan sumber manusia sebagai penentu utama bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup menjadi teras utama dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM 7). Kerajaan membuat beberapa perubahan besar dalam sistem pendidikan dan latihan bagi memperkukuh dan memperbaiki kualiti dan menambah kuantiti keluaran bagi memenuhi keperluan tenaga manusia dalam pembangunan negara.

Tan Sri Datuk Dr. Wan Zahid Mohd. Nordin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad ke 21 (1993) mengatakan, usaha untuk mencapai tahap negara dinamik dan progresif berasaskan kemampuan dalam sains dan teknologi memerlukan kumpulan kritikal sumber manusia yang lengkap dan mampu untuk berubah dan melakukan penyesuaian dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah dan kehendak industri yang dinamik. Jelaslah dalam usaha mencapai Wawasan 2020 dan menangani segala cabaran ke arah negara maju, Malaysia bergantung kepada tenaga manusia yang 'versatile' yang mampu bersaing dan berdaya tahan. Mereka adalah penentu kepada pencapaian matlamat ini. Kompetensi yang mereka miliki penting dilihat sebagai asas kepada pencapaian matlamat ini..

Untuk mencapai matlamat di atas, Guru Besar sebagai pengurus sekolah perlu peka kepada kehendak Wawasan pendidikan dan Rancangan Malaysia ke 7 bagi melahirkan sumber manusia yang 'versatile', dinamik dan inovatif. Apakah kompetensi yang perlu ada pada Guru Besar bagi membolehkannya menjalankan tugas sebagai pemimpin pengajaran di sekolah? Setakat manakah kompetensi yang mereka miliki bagi menjalankan tugas mencabar berkenaan? Apakah tahap kompetensi ada mereka miliki bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan menyahut cabaran sistem pendidikan?

1.3 Objektif Kajian
Berdasarkan masalah yang telah dikemukakan tadi, kajian ini bertujuan mengenalpasti persepsi keperluan dan tahap kompetensi Guru Besar sebagai pemimpin pengajaran pembelajaran secara efektif. Khususnya kajian ini bertujuan untuk:

a. mengenalpasti kompetensi yang diperlukan mengikut persepsi Guru Besar untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin pengajaran di sekolah;

b. mengenalpasti tahap kompetensi yang ada mengikut persepsi Guru Besar dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin pengajaran;

c. melihat perbezaan tahap kompetensi berdasarkan ciri-ciri latarbelakang Guru Besar;

d. melihat hubungan antara kompetensi yang diperlukan dan tahap kompetensi yang ada pada Guru Besar; dan

e. melihat keutamaan kompetensi mengikut persepsi Guru Besar.

1.4. Kepentingan Kajian
Perlantikan Guru Besar adalah satu usaha pemantapan pengurusan. Sebagai pengurus pendidikan, mereka bertanggungj awab dalam menentukan hala tuju sekolah dan seterusnya ke arah melahirkan sumber manusia yang diperlukan oleh negara dalam mencapai wawasan
negara. Dengan mengenalpasti peranan dan tanggungjawab mereka kita dapat mengkaji kompetensi-kompetensi yang diperlukan bagi menjayakan cabaran pendidikan. Mengkaji tahap kompetensi yang mereka ada membolehkan kita mencari ruang bagi memperbaiki program pembangunan untuk Guru Besar. Kajian ini juga diharapkan dapat membantu pihak berkenaan mengenalpasti sumber manusia yang kompeten bagi membantu pihak kementerian.

1.5. Batasan Kajian
Kajian ini menggunakan responden dari sekitar Daerah Kuching sahaja. Hanya pembolehubah-pembolehubah seperti umur, kelayakan akademik, jantina, pengalaman mengajar dan pengalaman sebagai Guru Besar, jenis sekolah, kedudukan sekolah serta latihan pentadbiran yang diterima dikaji. Oleh itu, dapatan mungkin sukar untuk dibuat generalisasi tentang kompetensi serta tahap kompetensi yang ada dan yang diperlukan oleh kesemua Guru Besar di Malaysia.
.

1.6 Definisi Operasional

1.6.1 Kompetensi
Kompetensi adalah kecekapan seseorang Guru Besar dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin pengajaran. Namun demikian kecekapan ini perlu dilengkapi oleh pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan oleh Guru Besar bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai pemimpin pengajaran pembelajaran yang efektif.

1.6.2 Guru Besar
Guru Besar adalah mereka yang dilantik dan bertanggungjawab dalam pengurusan sekolah di bawah peruntukan Peraturan Sekolah Umum 1951.

1.6.3 Pemimpin Pengajaran
Pemimpin pengajaran merujuk kepada peranan dan tanggungjawab Guru Besar dalam memastikan kurikulum dilaksanakan dengan jayanya dan berkesan. Ini meliputi enam kategori iaitu kurikulum dan pengajaran, penyeliaan dan penilaian pengajaran guru, pembangunan staf, hubungan interpersonal, motivasi staf dan pengurusan sekolah.